Isnin, 28 April 2008

HALAL ATAU HARAM


Artikel ini dihantar oleh seorang teman

Saya dan rakan-rakan saya daripada beberapa universiti mengikuti perkembangan industri Halal di Negara ini dengan penuh kebimbangan. Terkini, HDC telahpun dilantik untuk mengambil tugasan mengeluarkan sijil halal daripada JAKIM kepada para pengeluar makanan di dalam dan luar Negara.

Kami melihat perlantikan yang ternampak tergesa-gesa ini akan menghadapi masalah yang lebih besar dan saya risau perlantikan ini merupakan satu langkah ke belakang ke arah usaha Malaysia, sebagai negara Islam untuk mewujudkan halalhub yang dipercayai dan diyakini di dunia. Kini telahpun kedengaran ada Negara seperti Brunei dan beberapa Negara arab tidak menerima pensijilan yang dikeluarkan oleh Malaysia melalui JAKIM. Dalam kekalutan ini semua akta halal yang telah lama dikehendaki oleh pengguna Islam masih tidak kelihatan sejak ianya dicadangkan oleh PPIM lebih sepuluh tahun dahulu. Kenapa ini berlaku? Apakah ada agenda yang kita rakyat tidak ketahui.



Disebabkan tiada akta halal, hanya orang Islam yang boleh disabitkan dan orang bukan Islam tidak tertakluk kepada undang-undang syariah walaupun dalam kes-kes membabitkan agama Islam itu sendiri! Kita tidak mahu rakyat bertambah gelisah dan mencari PRU13 sebagai wadah untuk menyuarakan isi hati mereka.

Pengeluaran sijil oleh badan yang kami difahamkan dikuasai oleh Khairi Jamaludin dengan nasihat yang diberikan oleh perunding ETOS sudah tentu akan mengundang lebih banyak keraguan sebagaimana yang pernah dilalui oleh Ilham Daya satu masa dahulu. Sudah tersebar luas, jika benar HDC diperuntukkan ratusan juta untuk melaksanakan keputusan yang dbuat tanpa proses pentadbiran ( seperti melalui EPU) bagi meletakkan kuasa penilaian keyakinan halal kepada HDC melalui kuasa perdana Menteri.

Saya juga difahamkan 7 buah negeri tidak bersetuju cadangan ini dan mereka juga boleh mengeluarkan sijil halal negeri masing-masing yang mana sudah tentu akan membawa isu halal ini ke tahap yang lebih kalut dan memalukan. Ada satu kejadian terkini di mana salah sebuah negeri di Malaysia telah mengeluarkan sijil halal kepada produk Cina yang tulisannya 100% dalam bahasa Cina (yang dikhuatiri tidak halal) menggunakan sijil halal JAKIM dan tiada sebarang tindakan boleh diambil oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna. Yang paling menghairankan, negeri ini hanya mempunyai seorang pegawai dalam urusan pensijilan halal.

Pada pendapat saya, kalaulah peruntukan sebesar itu diberikan kepada HDC, JAKIM sendiri lebih mampu untuk melaksanakan usaha ini dengan menggunakan kepakaran yang boleh diambil daripada universiti di seluruh dunia

Tiada ulasan: